Sistem Pembetungan

Evolusi Rawatan Kumbahan di Malaysia

Ketika masyarakat berpindah daripada budaya nomad ke pembinaan tapak-tapak kekal, kebimbangan mengenai penghapusan bahan buangan (pepejal dan air kumbahan) menjadi isu yang penting. Isu ini telah ditangani dengan pelbagai cara dan pengetahuan mengenainya juga bertambah. Sewaktu masyarakat hidup sebagai pemburu dan pengumpul, pereputan (compost) dikendalikan dengan sampah sarap dan bahan buangan manusia secara semulajadi. Ketika bandar-bandar membangun, mekanisme-mekanisme lain adalah diperlukan untuk mengatasi isu bahan buangan ini. Kita perlu memahami bahawa "sehingga kini, sanitasi air kumbahan tertumpu kepada mengurangkan risiko kesihatan, terutamanya penyakit berjangkit. Baru-baru ini, skop isu-isu bahan buangan telah diperkembangkan dan ia melibatkan risiko-risiko kesihatan kronik dan kebimbangan persekitaran". (Burks & Minnis, 1994:1).

Ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sistem pembetungan yang ditinggalkan oleh penjajah pada masa itu terdiri daripada pelbagai jenis tandas termasuk tandas jamban. Sistem pembetungan hampir tiada ketika itu. Berikutan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, sistem pembetungan seperti Tangki septik individu / Tangki septik komunal, Tangki Imhoff, Kolam Pengoksidaan dan Sistem Sambungan Mekanikal telah diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia. Sistem ini diharapkan dapat mencapai matlamat dalam meningkatkan kesihatan masyarakat.

Namun, pengurusan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa pada masa itu tidak menyeluruh dan peningkatan jumlah penduduk menyumbang kepada tahap pencemaran sungai dan sistem perparitan serta memberi kesan negatif terhadap kualiti persekitaran. Oleh itu, Kerajaan Malaysia telah menggubal undang-undang khas, Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 (Akta 508), yang telah diluluskan oleh Parlimen pada bulan Jun 1993. Akta 508, memberi mandat kepada Kerajaan Persekutuan untuk bertanggungjawab sepenuhnya dan kawalan ke atas pembangunan, pengurusan dan peraturan pengurusan kumbahan di seluruh negara.

Pada masa ini, lahirnya syarikat pembetungan nasional bagi menguruskan perkhidmatan pembetungan yang setanding dengan syarikat-syarikat utiliti lain. Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mula beroperasi pada 2 April 1994, dan tahun-tahun berikutnya menjadi titik tolak bagi syarikat utiliti tersebut terutamanya dalam melaksanakan tanggungjawab bagi pengurusan kumbahan di Malaysia.