IST & Penyambungan

 

Tangki Septik Individu (IST)

 

 

Sesebuah IST itu meliputi dua ruang yang bersambung secara bersiri. Di dalam ruang yang pertama, pepejal daripada kumbahan akan mendap dan membentuk "enapcemar" manakala gris dan minyak akan terapung di permukaan dan membentuk lapisan skum. Efluen di antara lapisan skum dan enapcemar akan mengalir ke ruang kedua di mana pemendapan seterusnya akan berlaku. Akhirnya, efluen akan meninggalkan ruang yang kedua dan akan dilepaskan ke longkang atau dibenarkan untuk menyerap ke dalam tanah.

Enapcemar di dalam tangki akan melalui proses pencernaan anaerobik dan ditukarkan kepada sebatian organik yang lebih stabil dan gas-gas seperti karbon dioksida (CO2), metana (CH4) and hidrogen sulfida (H2S). Selalunya, IST direkabentuk untuk masa pengekalan 24 jam. Muatan simpanan yang mencukupi disediakan supaya skum dan enapcemar najis boleh disimpan di dalam tangki selama 2 tahun yang mana selepas itu ia perlu dikosongkan untuk tangki itu beroperasi dengan baik.

IST adalah sesuai untuk sesebuah kediaman atau bangunan individu dengan kesetaraan penduduk (PE) sehingga 150 yang tidak mempunyai sistem pembetungan terpusat dan pengaliran efluennya tidak akan memberikan kesan buruk kepada persekitaran. Ini merupakan penyelesaian termurah untuk membuang enapcemar. Walau bagaimanapun, IST hanya merawat enapcemar secara separa dan tumpuan dari kumpulan tangki-tangki ini akan membebankan kapasiti penerimaan alam sekeliling mengakibatkan masalah-masalah kesihatan dan bau. Pada masa kini, terdapat lebih daripada 1 juta IST di Malaysia, membuatkannya jenis sistem pembetungan yang paling biasa digunakan.

 
 

Perkhidmatan Pembetungan Bersambung

 

 

Pelanggan perkhidmatan pembetungan bersambung mempunyai saluran paip pembetungan yang disambung terus ke loji rawatan kumbahan awam melalui rangkaian paip pembetungan di bawah tanah. IWK bertanggungjawab bagi operasi dan penyelenggaraan semua loji rawatan kumbahan awam. Loji rawatan kumbahan awam adalah loji yang telah diserahkan kepada Kerajaan (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) oleh Pemaju.

Premis yang mempunyai sistem pembetungan bersambung ke loji pada lazimnya mempunyai satu "ruang pemeriksaan" yang ditutupi dengan satu penutup logam bersegi empat tepat. Ia biasanya terletak di luar kawasan premis sama ada di hadapan, belakang atau tepi premis. Di dalam ruang pemeriksaan adalah saliran paip daripada tandas, bilik-bilik mandi dan dapur yang disambungkan ke saluran paip pembetungan awam ke loji rawatan kumbahan awam. Sekiranya saliran paip tersumbat, pemeriksaan dan pengeluaran sekatan dijalankan melalui ruang pemeriksaan ini.

Walau bagaimanapun, premis jenis banglo pada lazimnya akan mempunyai lebih daripada satu ruang pemeriksaan bergantung kepada jumlah tandas, bilik mandi dan dapur di dalam premis. Jika premis mempunyai 5 tandas dan satu dapur, maka di luar kawasan premis akan mempunyai 6 ruang pemeriksaan dan bukan satu ruang pemeriksaan sahaja. Sering kali, pemilik rumah jenis banglo beranggapan bahawa ruang-ruang pemeriksaan ini adalah tangki septik. (Tangki septik adalah dibina sebaris serta sekelompok dan tidak terletak di merata tempat di dalam kawasan rumah).

Satu lagi kekeliruan yang sering berlaku di kalangan pengguna adalah perbezaan di antara saliran paip dalaman atau persendirian dan awam. Ramai pengguna tidak tahu bahawa saliran paip dari ruang pemeriksaan ke saliran paip pembetungan awam atau lurang pembetungan awam adalah saliran paip persendirian milik. Pengguna bertanggungjawab untuk membaiki dan mengganti paip-paip yang pecah atau mengeluarkan sekatan atas perbelanjaan sendiri. IWK hanya bertanggungjawab untuk penyelenggaraan paip pembetungan awam.