Soalan-soalan Lazim – Premis Kerajaan, Komersial Dan Industri


Premis Kerajaan, Komersial Dan Industri

Pelanggan IWK
Seperti yang telah ditakrifkan dalam Akta Perkhidmatan Pembetungan (Caj) Peraturan 1994, pelanggan atau pengguna IWK ialah pemilik/penghuni, firma, badan korporat atau entiti yang telah ditetapkan di bawah undang-undang sebagai pemunya atau penghuni mana-mana premis domestik, komersial, industri atau kerajaan yang disediakan dengan perkhidmatan pembetungan jenis bersambung atau perkhidmatan tangki septik dan premis tersebut terletak di dalam kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan yang telah diserahkan kepada IWK untuk memberikan perkhidmatan dan penyenggaraan sistem pembetungan.
Definisi Premis Komersial

Premis Komersial ertinya mana-mana premis yang digunakan keseluruhannya atau sebahagiannya bagi tujuan perdagangan, perniagaan, penyediaan perkhidmatan atau kemudahan atau apa-apa aktiviti lain, sama ada bagi mendapatkan keuntungan atau selainnya.

Definisi Premis Kerajaan

Premis Kerajaan ertinya mana-mana premis yang dipunyai dan diduduki oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, suatu pihak berkuasa tempatan, suatu badan berkanun yang ditubuhkan oleh undang-undang Persekutuan atau Negeri, suatu Mahkamah atau tribunal.

Definisi Premis Perindustrian

Premis perindustrian ertinya mana-mana premis yang di dalamnya aktiviti utama yang dijalankan melibatkan pembuatan, pengubahan, pengadunan, penghiasan, perkemasan atau selainnya pengawetan atau penyesuaian apa-apa barang atau bahan dengan tujuan menggunakan, menjual, mengangkut, menghantar atau melupuskan dan termasuklah pemasangan bahagian-bahagian dan pembaikan kapal tetapi tidaklah termasuk apa-apa aktiviti yang biasanya berkaitan dengan perdagangan jualan runcit atau jualan borong

Bagi premis yang ingin memohon untuk dikenakan caj mengikut kadar perindustrian, pemunya atau penghuni premis perlu melengkapkan dan mengembalikan "Borang Deklarasi" kepada IWK. Borang boleh diperolehi daripada pejabat IWK secara percuma.

Caj Perkhidmatan Pembetungan Bagi Premis Perindustrian

Caj perkhidmatan pembetungan bulanan bagi premis perindustrian adalah berpandukan kepada pengiraan pengguna atau orang di dalam premis yang menggunakan tandas. Caj perkhidmatan Pembetungan yang dikenakan ialah RM2.00 seorang bagi premis yang mempunyai sistem pembetungan jenis tangki septik dan RM2.50 seorang bagi premis yang mempunyai sistem pembetungan jenis bersambung ke loji rawatan kumbahan awam.

Caj minimum bulanan adalah berpandukan kepada jumlah pengguna minimum seramai 10 orang atau RM20.00 sebulan bagi premis yang mempunyai sistem pembetungan jenis tangki septik dan RM25.00 sebulan bagi premis yang mempunyai sistem pembetungan jenis bersambung ke loji rawatan kumbahan awam. Oleh kerana caj yang dikenakan adalah berpandukan kepada jumlah pengguna, pemunya atau penghuni premis perlu melengkapkan serta mengembalikan Borang Deklarasi kepada IWK setiap enam bulan sekali pada 30 Jun dan 31 Disember.

Caj Perkhidmatan Pembetungan Bagi Premis Komersial dan Kerajaan

Bil Perkhidmatan Pembetungan bagi premis Komersial dan Kerajaan adalah setiap bulan. Caj bulanan mengandungi dua bahagian iaitu Caj Asas, berpandukan kepada Nilai Tahunan premis dan jenis sistem pembetungan; dan Caj Penggunaan Air, berpandukan kepada purata penggunaan air melebihi 100 meter padu. Sila rujuk caj tarif perkhidmatan pembetungan di muka belakang Bil Perkhidmatan Pembetungan.

Caj Penggunaan Air
Caj Penggunaan Air bulanan hanya dikenakan ke atas premis Komersial dan Kerajaan sahaja jika purata penggunaan air bulanan melebihi 100 meter padu. Caj Penggunaan Air bagi Komersial adalah 30 sen setiap meter padu (penggunaan 100-200m3), 45 sen (melebihi 200m3) dan Kerajaan 45 sen setiap meter padu (penggunaan 100-200m3), 95 sen (melebihi 200m3). Maklumat penggunaan air diperolehi daripada Operator Air.

Berikut adalah pengiraan purata penggunaan air bulanan.

Contoh:
 

Tempoh

Jumlah Penggunaan (m3)

1/1/2007 - 28/2/2007 300
28/2/2007 - 30/4/2007 400
30/4/2007 - 30/6/2007 500
Jumlah Penggunaan Air (m³) 1,200

Caj Tambahan Penggunaan Air adalah tertakluk kepada perubahan berpandukan kepada maklumat penggunaan air bagi tahun sebelumnya yang diperolehi daripada Operator Air.
 
Jumlah hari dalam tempoh pengiraan 1/1/2007 – 30/6/2007 : 181 Hari
Purata Penggunaan Air:1,200 m³/181 hari x 365 hari/ 12 bulan 201.66 m³
Tolak: Jumlah Penggunaan Air Yang Dikecualikan (100m³)
Jumlah Penggunaan Air Yang Dikenakan caj 101.66m³
Komersil:Caj Penggunaan Air Bulanan: 100.00 m3 x 30 sen + 1.66 m3 x 45 sen RM 30.00 + RM0.75 = RM30.75
Kerajaan:Caj Penggunaan Air Bulanan: 100.00 m3 x 45 sen + 1.66 m3 x 95 sen RM 45.00 + RM1.58 = RM46.58
Premis Yang Mempunyai Tangki Septik

IWK akan menjalankan perkhidmatan pengosongan secara berjadual lebih kurang setiap dua tahun sekali. Walau bagaimanapun, pelanggan boleh meminta perkhidmatan ini, selepas perkhidmatan pertama atau sebelum perkhidmatan yang akan dijadualkan, tanpa caj tambahan melainkan caj pembetungan yang dikenakan setiap bulan.Sila berhubung dengan IWK di 03-20832828 atau pejabat operasi IWK yang berhampiran dengan anda, jika tangki septik premis memerlukan perkhidmatan pengosongan.

Mengenalpasti Tangki Septik

Tangki septik biasanya dibina di bawah tanah dan berada di luar premis sama ada di bahagian hadapan, tepi atau belakang premis. Ia mempunyai 2 - 4 penutup logam yang bersegi empat tepat. Penghuni atau pemilik premis bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan tangki septik tersebut. IWK hanya menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik sahaja.

Pengosongan Tangki Septik Mandatori

Penghuni atau pemilik premis yang enggan menerima perkhidmatan pengosongan tangki septik oleh IWK adalah akan dikenakan saman jika didapati bersalah sepertimana yang terkandung di dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Perkhidmatan Pembetungan Bersambung

Anda boleh mengenalpasti perkhidmatan bersambung ini jika anda lihat adanya satu penutup logam bersegi empat tepat, dipanggil lurang pemeriksaan, di luar premis anda sama ada di bahagian tepi, hadapan atau belakang. Seluruh kawasan anda dianggap mempunyai sistem pembetungan jenis bersambung sekiranya terdapat lurang pembetungan dengan penutup logam bulat di atas jalan raya di sekitar kawasan premis anda.

Di dalam lurang pembetungan terdapat paip-paip pembetungan yang menyambungkan sistem pembetungan premis-premis ke loji rawatan kumbahan. Ia juga digunakan untuk memeriksa masalah pembetungan dan membersihkannya. Adalah salah di sisi undang-undang jika orang awam membuka lurang pembetungan tanpa kelulusan daripada IWK atau Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan kementerian yang berkaitan.

Kebiasaannya, anda tidak akan berjumpa dengan kakitangan IWK di premis anda kerana kerja-kerja kami adalah di loji rawatan kumbahan awam dan penyelenggaraan paip-paip pembetungan di atas jalan raya awam. Anda akan berjumpa dengan kakitangan atau wakil IWK apabila anda memanggil kami untuk membersihkan paip pembetungan awam yang tersumbat atau mengalami masalah pembetungan.

Sampah Sarap

Membuang sampah sarap/pepejal seperti napkin bayi dan tuala wanita, surat khabar, majalah dan lain-lain ke dalam tandas, tangki septik atau lurang pemeriksaan akan menyekat saliran paip pembetungan awam dan di dalam premis. Ini akan mengakibatkan air kumbahan melimpah ke dalam tandas, bilik air atau dapur premis anda. Untuk mengelakkan paip pembetungan tersumbat, sila pastikan anda dan penghuni premis anda tidak membuang sampah sarap ke dalam tandas, tangki septik atau lurang pemeriksaan.

Perkhidmatan Atas Permintaan

Di dalam lurang pemeriksaan terdapat saliran-saliran kumbahan yang menyambungkan paip-paip pembetungan premis anda kepada paip pembetungan awam dan ia juga digunakan untuk memeriksa dan mengeluarkan bahan-bahan yang tersekat di dalam saliran paip pembetungan awam atau premis anda.

Untuk mengeluarkan sekatan daripada saliran paip pembetungan awam, anda tidak perlu membayar untuk perkhidmatan ini kerana IWK adalah bertanggungjawab di atas penyelenggaraan paip tersebut.

Sekiranya sekatan terdapat di dalam saliran paip pembetungan dalam premis, anda akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM220.00 setiap kali perkhidmatan dijalankan. Pembayaran hendak dijelaskan selepas sekatan dikeluarkan. Sila dapatkan resit pembayaran daripada kakitangan atau wakil IWK.

Sekiranya terdapat kerosakan pada saliran paip pembetungan di dalam premis, penghuni iaitu pemilik atau penyewa perlu mendapatkan khidmat kontraktor persendirian, atas pembiayaan sendiri, untuk mengganti/membaiki paip tersebut. IWK akan membekalkan nama kontraktor atas permintaan daripada penghuni premis.

Premis Tidak Berpenghuni

Premis yang tidak berpenghuni bagi tempoh 6 (enam) bulan berturut-turut adalah layak untuk dikecualikan daripada caj perkhidmatan pembetungan. Walau bagaimanapun, anda perlu mengirimkan kepada IWK sesalinan Penyata Akaun Air yang menunjukkan penggunaan air tidak melebihi 1m3 semasa premis tersebut tidak berpenghuni. Sekiranya bekalan air telah ditamatkan, sila kirimkan kepada IWK sesalinan surat atau resit pembayaran terakhir yang dikeluarkan oleh Operator Air.

Dokumen daripada Tenaga Nasional Berhad juga boleh dipertimbangkan sebagai penggantian untuk membuktikan tiada penggunaan elektrik semasa premis tersebut tidak berpenghuni.

Penukaran Hak Milik Premis
Anda perlu mengirimkan sesalinan Surat Perjanjian Jual-Beli yang menunjukkan tarikh perjanjian ditandatangani, nama pembeli dan penjual, alamat harta dan tandatangan semua pihak yang berkenaan. Ini adalah untuk memastikan maklumat pemilik pada Akaun Pembetungan premis tersebut adalah betul dan tepat.
Bangunan Bertingkat Rendah

Caj Asas bulanan premis komersial adalah berpandukan kepada Nilai Tahunan premis. Pihak Berkuasa Tempatan menetapkan Nilai Tahunan yang ditakrifkan sebagai "anggaran sewa tahunan yang boleh diperolehi daripada premis tersebut" dan bukan nilai hartanah tersebut.

Berpandukan kepada maklumat hartanah daripada Pihak Berkuasa Tempatan, kebanyakan bangunan bertingkat rendah atau rumah kedai mempunyai satu Nilai Tahunan dan oleh itu hanya satu Bil Perkhidmatan Pembetungan sahaja dikirimkan ke bangunan tersebut.

Pemunya bangunan tersebut yang ingin memohon untuk dikenakan caj perkhidmatan pembetungan berasingan bagi setiap tingkat perlu memohon kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk menilaikan premis-premis di setiap tingkat secara berasingan.

Setelah mendapat Nilai Tahunan berasingan bagi setiap tingkat, pemunya premis perlu membekalkan satu salinan Bil Taksiran dan Bil Air terkini bagi setiap tingkat kepada IWK untuk pengiriman Bil Perkhidmatan Pembetungan berasingan. Bil yang baru hanya akan berkuatkuasa setelah semua tunggakan berpandukan kepada bil asal dijelaskan dengan sepenuhnya.

Bangunan Bertingkat Tinggi

Bangunan bertingkat tinggi, tidak kira jumlah tingkat, yang mempunyai satu Nilai Tahunan, satu meter air dan menggunakan tandas awam akan dikenakan satu caj perkhidmatan pembetungan sahaja.

Bil Perkhidmatan Pembetungan bagi bangunan bertingkat tinggi yang mempunyai lebih daripada satu Nilai Tahunan, satu meter air dan menggunakan tandas awam juga akan dikenakan satu caj perkhidmatan pembetungan sahaja. Caj yang dikenakan adalah bagi perkhidmatan Pembetungan jenis bersambung dari bangunan ke sistem/loji pembetungan awam.

Pembayaran Bil Perkhidmatan Pembetungan

Pembayaran secara tunai sahaja boleh dibuat di semua cawangan Pos Malaysia yang berkomputer dan Bank Simpanan Nasional.

Pembayaran secara tunai atau cek boleh dibuat di Maybank, Mayban Finance, Public Bank & Finance, Arab-Malaysian Bank & Finance, semua pejabat IWK, Ibu Pejabat IWK di No 44, Jalan Dungun, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur.

Pembayaran melalui perbankan internet boleh dibuat melalui "Maybank2U.com.my" untuk pemegang akaun Maybank sahaja dan "MBf Call & Click & Pay" untuk pemegang kad kredit Master sahaja.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kaedah Pembayaran.

Tanggungjawab Pemilik Atau Penghuni Premis

Penghuni iaitu pemilik atau penyewa premis adalah bertanggungjawab ke atas pembayaran Bil Perkhidmatan Pembetungan bagi perkhidmatan pembetungan yang telah disediakan oleh IWK.

Sekiranya penghuni atau penyewa gagal menjelaskan pembayaran Bil Perkhidmatan Pembetungan, pemunya premis adalah bertanggungjawab ke atas caj perkhidmatan pembetungan yang tertunggak. Ini terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Caj Perkhidmatan Pembetungan (11), Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993, yang menyatakan bahawa "Pemunya dan penghuni sesuatu premis yang kepadanya perkhidmatan pembetungan diberikan oleh IWK di bawah Peraturan-Peraturan ini hendaklah, sebagai pengguna, bertanggungan bersama dan berasingan untuk membayar caj pembetungan, dengan syarat pemunya premis, hendaklah tanpa apa-apa perjanjian sebaliknya, berhak untuk mendapatkan kembali daripada penghuni premis tersebut apa-apa caj yang dibayarnya sewaktu menghuni".