Pengenalan CSR

 

Secara Am

Selaku syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd sentiasa percaya dan menitikberatkan pemuliharaan alam sekitar. Ia telah menjadi satu kepercayaan atau telah sebati dalam DNA kami kerana segala yang kami lakukan dalam operasi harian kami, adalah bertujuan untuk melindungi alam sekitar. Tambahan pula, antara nilai utama yang kami terapkan dalam diri kami adalah menghargai komuniti yang terlibat dalam operasi harian kami.

Kedua-dua tonggak ini – alam sekitar dan komuniti – telah membentuk teras utama kepada prinsip Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat. Kami percaya dalam menjaga komuniti, melindungi alam sekitar dan menerapkan nilai murni dalam diri pekerja dan pada masa yang sama menyampaikan komitmen tertinggi kami kepada pelanggan. Justeru itu, terbentuklah program CSR utama IWK yang dikenali sebagai "IWK CARES".

Di bawah program utama ini, IWK mendekati komuniti dan pihak berkepentingan melalui rangkaian pejabat operasi kami dengan memberi impak positif dalam usaha penambahbaikan kepada masyarakat setempat. Selain pemuliharaan alam sekitar dan sumbangan kepada masyarakat, pendekatan utama dalam inisiatif CSR kami juga adalah berkaitan dengan perkongsian ilmu khususnya kepada generasi muda dengan melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah dan kolej, atau juga keluarga daripada kumpulan B40. Berkongsi dan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) turut dijalankan bagi membantu dalam mencapai impak yang lebih besar, dan kerana itu, inisiatif CSR syarikat adalah berpandukan kepada:

 
ALAM SEKITAR

Melindungi alam sekitar terutamanya sumber air termasuk sungai

KOMUNITI

Bekerjasama dengan masyarakat setempat termasuk kerjasama strategik dengan badan bukan kerajaan tempatan dan organisasi kebajikan yang terpilih

PENDIDIKAN

Menyokong program yang berlandaskan pendidikan/kemahiran terutama untuk golongan miskin tegar dan keluarga B40

 

Antara aktiviti yang dijalankan di bawah program utama ini adalah:

  • IWK Friends of Rivers: Sebanyak 21 pejabat operasi IWK di seluruh Negara mengenalpasti sebatang sungai sebagai “sungai angkat” dan menjalankan pelbagai aktiviti bagi memulihara serta mengindahkan kawasan sungai berkenaan dengan membersihkan sungai, melukis seni grafiti/mural yang sesuai, penanaman pokok dan papan kenyataan maklumat.
  • Saya Sayang STP: Sebanyak 21 pejabat operasi kami bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat yang berada berdekatan dengan loji rawatan kumbahan kami agar dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan loji-loji ini, di samping memupuk nilai murni dan penghargaan kepada aset-aset kami.
  • Sumbangan kepada petugas barisan hadapan dan NGO: IWK menyokong petugas barisan hadapan dan komuniti setempat dengan membekalkan peralatan perubatan penting termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pelbagai hospital, anggota tentera dan polis serta pengamal media di seluruh Malaysia, terutamanya sejak pandemik COVID-19 bermula, serta pemberian makanan dan keperluan asas lain kepada rumah kebajikan dan golongan B40.
  • Kerjasama strategik dengan NGO: Program seperti ‘Adopt a Tree’ bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan program pengagihan makanan bersama PERTIWI.
  • Program Lawatan Sambil Belajar: IWK menganjurkan lawatan untuk pelajar dan delegasi sama ada dari tempatan dan antarabangsa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sistem pembetungan Malaysia serta peranan IWK dalam memberikan perkhidmatan pembetungan yang cekap kepada rakyat Malaysia.