Penyelenggaraan

 

Kebanyakan kerja-kerja penyelengaraan loji-loji dan saliran paip pembetungan dibuat oleh pekerja Indah Water. Bagi memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor kecil, Indah Water menyediakan peluang dalam bidang-bidang berikut:



   

 

  1. Pemotongan rumput
  2. Penyelengaraan Rangkaian Paip
  3. Kerja-kerja Mekanikal & Elektrikal
  4. Kawalan Keselamatan
  5. Pembersihan Pejabat
  6. Pembuangan Sampah
  7. Penyelenggaraan Enapcemar

 

Kebanyakan kerja-kerja ini tidak memerlukan kemahiran yang luas. Kebanyakan kontraktor Bumiputera mampu menjalankan kerja-kerja ini dengan baik dan hanya memerlukan modal pusingan yang rendah.

 

Pemilihan kontraktor akan dibuat oleh pihak Unit Operasi Negeri. Kontraktor-kontraktor dinasihatkan untuk berhubung terus dengan Unit Operasi yang berhampiran.

 

1. Pemotongan Rumput


Skop Kerja:

Melibatkan pemotongan rumput sekali setiap 30 hari (30-days cycle) di loji-loji yang disenaraikan. Kontraktor juga dikehendaki membuang dahan, daun dan sampah yang terdapat di dalam kawasan loji.

 

Kelayakan:

Kontraktor yang mempunyai peralatan memotong rumput dan juga pekerja-pekerja yang sedia ada. Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan dan Indah Water adalah diperlukan.

 

Anggaran Nilai Kontrak:

Kontrak diberi untuk tempoh setahun dan harga kontrak bermula dari RM20,000 sehingga RM200,000. Ini bergantung kepada keluasan kawasan rumput yang perlu dipotong dan jumlah loji yang perlu diselenggara.

 

Pemilihan Kontraktor:

Pemilihan diadakan secara tender setiap tahun oleh Unit Operasi Negeri. Kontraktor yang ingin menyertai program ini, sila hubungi Unit Operasi Negeri masing-masing.

 

2. Rangkaian Paip

 

Skop Kerja:

Membaiki saluran paip yang pecah atau rosak.

 

Kelayakan:

Kontraktor perlu berdaftar dengan Jabatan Perolehan Indah Water di Ibu Pejabat Kuala Lumpur dan mempunyai pengalaman membaiki paip saliran.

 

Anggaran Nilai Kontrak:

Nilai kontrak bergantung kepada kerosakan pada saluran paip Indah Water. Unit Operasi yang mempunyai sistem saluran yang lengkap selalunya menghadapi lebih banyak masalah.

 

Pemilihan Kontraktor:

Pemilihan kontraktor dilakukan oleh Unit Operasi Negeri atau secara tender terbuka. Kontraktor harus berhubung terus dengan Pengurus Unit untuk dimasukkan ke dalam senarai untuk pemilihan. Kriteria pemilihan adalah bergantung kepada pengalaman, kemampuan pekerja, kemampuan kewangan dan peralatan.

 

3. Kerja-kerja Mekanikal dan Elektrikal

 

Skop Kerja:

Melibatkan kerja-kerja pembaikian kecil pada peralatan mekanikal dan elektrikal seperti pam, pengudara, panel kawalan elektrik dan pendawaian.

 

Kelayakan:

Kontraktor-kontraktor yang berdaftar dengan CIDB dalam bidang Mekanikal & Elektrikal dan mempunyai bengkel dan pekerja-pekerja yang mempunyai kemahiran.

 

Anggaran Nilai Kontrak:

Nilai kontrak adalah agak besar untuk Unit Operasi yang besar berbanding dengan Unit Operasi yang kecil.

 

Pemilihan Kontraktor:

Senarai nama kontraktor akan disediakan oleh Unit Operasi Negeri bersama Jabatan Perolehan Ibu Pejabat. Kriteria pemilihan adalah mengikut kadar harga yang kompetitif dan keupayaan bengkel.

 

4. Kawalan Keselamatan

 

Skop Kerja:

Meliputi perkhidmatan kawalan keselamatan untuk Pejabat dan Pusat Lapuran di seluruh negara.

 

Kelayakan:

Syarikat hendaklah berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan mempunyai pengalaman pengawalan keselamatan untuk sekurang-kurangnya 3 tahun.

 

Anggaran Nilai Kontrak:

Bergantung kepada jumlah pengawal yang diperlukan dan jumlah jam bekerja. Kontrak diberi untuk setahun.

 

Pemilihan Kontraktor:

Pemilihan diadakan oleh Unit Operasi Negeri dan diadakan secara tender. Syarikat-syarikat yang berminat dinasihatkan berjumpa dengan Pengurus Unit Operasi yang berdekatan. Kriteria pemilihan berdasarkan harga tender dan keupayaan syarikat.

 

5. Pembersihan Pejabat

 

Skop Kerja:

Mencuci dan membersih ruang pejabat.

 

Kelayakan:

Syarikat berdaftar dan mempunyai pekerja sendiri

 

Anggaran Nilai Kontrak:

Bergantung kepada keluasan pejabat

 

Pemilihan Kontraktor:

Pemilihan dibuat oleh Unit Operasi Negeri masing-masing dan berdasarkan tender terendah

 

6. Pembuangan Sampah

 

Skop Kerja:

Membersih kawasan buangan sampah dan membuang sampah di kawasan pembuangan sampah yang dibenarkan

 

Kelayakan:

Syarikat berdaftar yang mempunyai pekerja dan lori pembuangan sampah yang sesuai dan dibenarkan.

 

Anggaran Nilai Kontrak:

Bergantung kepada berat sampah dan jumlah loji-loji di dalam kontrak

 

Pemilihan Kontraktor:

Pemilihan dibuat oleh Unit Operasi Negeri. Tidak semua Unit Operasi memerlukan kontraktor khas bagi tujuan ini.

 

7. Penyelenggaraan Enapcemar

 

Skop Kerja:

Membersihkan batas pengeringan enapcemar dengan mengeluarkan enapcemar yang telah kering dan pasir. Menghantar enapcemar yang telah kering dan pasir ke tempat pembuangan yang dibenarkan. Membekal dan meratakan pasir pada batas pengeringan.

 

Kelayakan:

Kontraktor sivil yang mempunyai pekerja dan lori sendiri. Keutamaan diberi kepada kontraktor landskap yang dapat menggunakan enapcemar yang telah kering untuk pemeliharaan pokok-pokok.

 

Anggaran Nilai Kontrak:

Bergantung kepada saiz dan jumlah batas pengeringan yang perlu diselenggarakan

 

Pemilihan Kontraktor:

Pemilihan kontraktor dilakukan oleh Jabatan Perolehan bersama dengan Unit Operasi Negeri.