|
Bahan cemar di dalam kumbahan diukur
untuk pemahaman yang lebih jelas dan memudahkan rawatan kumbahan
dan juga memeriksa kesan-kesan efluen atau kumbahan terawat
kepada persekitaran.
Sampel efluen daripada loji-loji olahan kumbahan awam diambil
pada masa-masa yang tertentu dan diuji di makmal untuk memastikan
ia menepati piawaian yang ditetapkan. Ujian-ujian dijalankan
sebagai sebahagian daripada program pengawasan dalam memenuhi
syarat-syarat lesen operasi Indah Water dan memastikan operasi
proses-proses rawatan yang efisien.
Ini akan menyediakan persekitaran yang bersih
dan selamat dan meningkatkan tahap kehidupan penduduk Malaysia.
Dua parameter
utama yang diukur adalah Permintaan Oksigen Biokimia
(BOD) dan Pepejal Terampai
(SS).
BOD adalah ukuran kandungan oksigen yang diserap oleh bahan
kumbahan dalam tempoh masa tertentu. Kandungan BOD tinggi
adalah ketara kerana ia menunjukkan bahan kumbahan itu akan
menyerap oksigen di sungai dan tasik dengan pantas, dan ini
akan membunuh hidupan laut, membuatkan air menjadi septik
dan berbau busuk. SS adalah ukuran bahan-bahan tidak larut
di dalam kumbahan. Kandungan SS yang tinggi akan menyebabkan
penyimpanan enapcemar di perairan, dan ini akan menyebabkan
kemerosotan yang ketara kepada persekitaran.
Efluen yang dilepaskan ke hulu sungai perlu menepati Piawaian
A, manakala efluen yang dilepaskan ke hilir sungai perlu
menepati Piawaian B. Piawaian-piawaian ini ditetapkan oleh
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
|